ASAL USUL NAMA PULUT LEPA
Che Doh Pembuat Pulut Lepa di Kampung Telemong
Mengikut catatan daripada cerita lisan yang saya perolehi daripada seorang pembuat pulut lepa iaitu Puan Midah atau dikenali dengan nama Che Doh atau Mak Long bagi masyarakat yang tinggal di sekitar Kuala Telemong, antara pembuat Pulut Lepa yang sedap di Kampung Kuala Telemong. Mok Long atau nam sebenarnya Puan Midah binti Ali adalah berasal dari Kampung Paluh Sungai Kiat, Kuala Terengganu. Beliau telah mengikuti suaminya setelah berkahwin iaitu dengan seorang duda iaitu Ustaz Muhamad, dan menetap di Kuala Telemong. Setelah suaminya meninggal, Che Doh kembali tinggal di Kampung Paluh Sungai Kiat, Kuala Terengganu.
Pulut Lepa yang dibuat oleh Che Doh memang antara variasi rasa yang sedap kerana cara pembuatan air tangan orang lama. Che Doh mendapat ilmu membuat pulut lepa sejak daripada kecil lagi kerana Che Doh menolong arwah ibunya membuat pulut lepa yang mana hasil penjualan dan tempahan pulut lepa adalah merupakan sumber rezeki kehidupan mereka. Che Doh adalah seorang anak gadis, membantu ibunya sehinggalah berkahwin. Setelah berkahwin, Che Doh telah berhenti daripada membuat pulut lepa itu kerana ingin memberikan perhatian sepenuh masa kepada suaminya seorang Ustaz.
Che Doh kembali membuat pulut lepa setelah mendengar keluhan daripada suaminya yang berkata, pulut lepa yang dia makan tidak sama dengan pulut lepa yang pernah dia makan suatu ketika dulu. Dia masih ingat sewaktu dihidangkan pulut lepa selepas selesai memberikan kuliah maghrib di sebuah surau di Kampung Pulau Rusa dahulu. Kata arwah suaminya, selepas kahwin beliau tidak pernah lagi merasai pulut lepa yang sesedap itu.
Che Doh sendiri tidak tahu, pulut lepa yang siapa yang membuatnya dan telah dimakan oleh suaminya itu, kerana di sekitar Kampung Paloh, memang ramai orang yang membuat pulut lepa untuk jualan termasuklah ibunya.
Semasa bercerita, Che Doh tersenyum kerana teringat kisah suaminya yang berkata, sewaktu sedang makan pulut lepa selepas kuliah itu, adalah seseorang yang berkata sedap pulut lepa ni lain pula rasa dari pulut lepa sebelumnya. Ustaz pula kata, saya memang suka pulut lepa. Ada yang mencelah, seperti apa yang ustaz ajar tadi kalau kita nak wangi, kenalah duduk dengan penjual minyak wangi, kalau suka makan duku kawin dengan orang yang ada kebun duku, kalau suka makan ikan, jadi menantu peraih ikan. Itulah kalau Ustaz suka makan pulut lepa, kawin dengan anak orang yang buat pulut lepa. Rupa-rupanya gurauan itu telah menjadi kenyataan.
Atas keluhan suaminya itu, Che Doh telah membuat pulut lepa untuk dimakan dan diagihkan kepada jiran sempena bulan Ramadan. Malam itu, sebaik berbuka puasa, suami Che Doh menjamah pulut lepa yang disediakan oleh isterinya.
Dia memerhatikan suaminya mencabut lidi pengemas pada kedua hujung pulut lepa, membuka daun pisang yang membaluti pulut lepa, meecobek sedikt pulut lalu memasukan ke dalam mulutnya dan mengunyah perlahan-lahan, layaknya seorang ustaz.
Hatinya berdebar-debar untuk mendengar ulasan suaminya. Tiba-tiba suaminya berkata, hah inilah pulut lepa yang saya cari, rupanya rasa pulut lepa inilah yang saya idamkan selama ini. Rupanya awak yang buatkan pulut lepa yang saya makan malam itu.
Sebenarnya, pulut lepa yang dimakan oleh ustaz pada ketika memberi kuliah di Kampung Pulau Rusa sebelum berkahwin dengan Che Dohdahulu adalah pulut lepa yang dia buatkan, selalunya tok bilal tu membeli pulut lepa yang dibuatkan oleh Che Minoh tapi kebetulan hari itu pulut lepa Che Minoh sudah habis. Maka tok bilal belilah juga pulut lepa, janji pulut ada.
Sejak hari itu, ustaz iaitu suami Che Doh telah meminta agar isterinya itu terus membuat pulut lepa kerana katanya rugi sesuatu yang sedap itu tidak diteruskan. Kata Che Doh, bukan apa sebab dia suka makan, itulah yang dia suruh buatkan, buatkan lebih sebab tak baik bau wangi asap tu membuatkan orang teringin juga, kata Ustaz. Lagipun Ustaz suka berinfaq, apatah lagi dengan juadah yang dibuat sendiri. Ustaz sering membantu Che Doh ketika membuat pulut lepa dengan dibantu oleh anak-anak saudaranya.
Asal-usul Pulut Lepa
Kata Che Doh; mengikut cerita arwah ibunya, pulut lepa bukan nama asalnya, nama asalnya pulut lepa ialah Lepat Pulut. Ianya telah bertukar nama setelah berlaku peristiwa, ketika orang Bugis menyediakan juadah untuk dihantar ke istana di Kuala Terengganu, mereka telah bercadang untuk buatkan dua jenis makanan iaitu Lepat Pulut (Lepat Lui) dan Ketupat Nasi (Burasak). Namun, beras pulut dan beras biasa yang mereka akan gunakan telah bercampur sewaktu kerja-kerja mencuci beras dibuat. Perkara ini hanya disedari setelah orang Bugis itu selesai mengukus semua beras bercampur tersebut. Namun beras yang bercampur itu tidak dibazirkan dan dikenal sebagai Nasi Dagang.
Ini menyebabkan Lepat Pulut dan Ketupat Nasi tidak dapat dibuat pada sambutan hari raya pada tahun itu. Sejak dari peristiwa iti, kerana kealpaan atau terlupa itulah menyebabkan nama Lepat Pulut itu disebut Pulut Lepa bagi mengingatkan peristiwa tersebut. Sebelum itu pulut lepa sememangnya dimakan dengan cara dicicah dengan sambal ikan (serunding ikan). Oleh kerana, cara kerja nelayan untuk makan pulut lepa dengan mencicah sambal ketika sedang bekerja di laut adalah tidak mudah. Maka, sebagai penyelesaiannya sambal ikan itu dimasukkan ke dalam pulut.
Comments
Post a Comment